Sabtu, 13 September 2008

7 Cara Tampil Menawan

1. Jangan keterlaluan
Anda tidak perlu mengenakan solekan yang keterlaluan untuk kelihatan cantik kerana is akan mencacatkan penampilan anda. Oleh itu, elakkan memakai penggaris mata yang terlalu gelap dan tebal kerana anda akan kelihatan keterlaluan dan merosakkan solekan anda. Selain itu, memakai maskara juga perlu bersesuaian dengan mata. Memakai terlalu banyak maskara menyebabkan bulu mata anda kelihatan seperti palsu.

Begitu juga dengan bedak asas, is perlu sesuai dengan warna kulit muka. Jika tidak, wajah akan kelihatan terlalu gelap atau terlalu cerah daripada warna sebenar kulit anda. Jangan keterlaluan ketika mengenakan solekan agar wajah anda akan kelihatan cantik semulajadi.

2. Mengenakan gincu dengan betul
Mengenakan gincu perlu disesuaikan dengan bentuk bibir dan warna kulit. Agar sapuan gincu kelihatan cantik, terlebih dahulu gariskan bibir anda dengan penggaris bibir agar ia terbentuk dengan sempurna dan pastikan garisan bibir tersebut tidak kelihatan. Jangan mengenakan garisan di luar bibir jika mahu bibir anda kelihatan tebal kerana ia akan nampak tidak semula jadi.

3. Sesuaikan solekan dengan majlis yang dihadiri
Menghadiri sesuatu majlis atau sebarang aktiviti memerlukan anda mengenakan solekan yang berbeza. Oleh itu, anda perlu bijak dalam mengenakan solekan agar anda tidak akan kelihatan pelik ketika menghadiri majlis atau aktiviti tersebut.

Amat tidak bersesuaian untuk anda jika mengenakan solekan yang tebal untuk melakukan aktiviti riadah di tepi pantai. Selain itu, anda perlu bijak membezakan antara solekan siang dan solekan malam.

4. Jangan ragu-ragu mengenakan solekan
Ada wanita yang masih ragu-ragu untuk mengenakan sebarang solekan kerana khuatir akan kelihatan pelik atau keterlaluan. Usah bimbang kerana anda hanya mulakan dengan solekan yang nipis dan gunakan warna yang lembut. Mengenakan solekan yang nipis lebih baik daripada tidak mengenakan sebarang solekan langsung.

5. Mengenal pasti keseluruhan penampilan anda
Penting untuk anda mengenal pasti apa yang bersesuaian dengan warna kulit, rambut dan juga bentuk muka dan badan. Pilih solekan yang sesuai dengan warna kulit agar ia kelihatan semula jadi. Contohnya, jika berkulit gelap, anda perlu mengenakan solekan dengan warna yang gelap. Selain itu, kenal pasti jenis kulit anda sama ada berminyak atau kering. Kulit yang berminyak memerlukan anda memakai pelembab yang mengawal minyak.

6. Memilih warna rambut yang sesuai
Sama seperti solekan, warna rambut juga perlu disesuaikan dengan warna kulit anda. Warna kulit yang cerah perlu disesuaikan dengan mewarnakan rambut dengan warna yang cerah begitu juga sebaliknya.

7. Sentuhan terakhir
Setelah mengenakan solekan dengan sempurna, pastikan anda sentiasa touch up agar solekan anda tidak hilang atau pudar.

Tiada ulasan: